Keluar dari zon selesa, ini antara nasihat kepada anggota AMK

Anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) diingatkan supaya keluar dari zon selesa dan melihat luar daripada kerangka semasa demi memantapkan pasukan sekali gus menyokong kekuatan parti.

Ketuanya, Adam Adli Abdul berkata, ia antara fokus dan hala tuju digariskan untuk Kongres Nasional AMK yang bermula esok.

Beliau berkata, anggota AMK perlu melihat di luar daripada skop sedia ada dan memahami cabaran global dan juga kedudukan Malaysia dari segi geopolitik bagi memastikan sayap berkenaan bukan sahaja memahami denyut nadi rakyat, malah cakna isu semasa.

“Fokus dan hala tuju bagi Kongres Nasional AMK kali ini tentu sekali kita mahu mengajak semua anggota mencermati terutama sekali soal disiplin, organisasi, membentuk sikap kita sesuai sebagai sayap pemuda bagi sebuah parti yang sedang mentadbir negara.

“Kita juga harus tonjolkan keupayaan anggota-anggota AMK ini dalam membentuk pemikiran, idea dan dasar yang boleh menyumbang kepada pentadbiran negara itu sendiri,” dipetik NSTP.

Adam menambah AMK perlu melihat di luar daripada kerangka semasa dan melihat di luar daripada skop sedia ada sekali gus keluar daripada zon selesa.

“Kita perlu peka dan mempunyai pandangan dunia, memahami cabaran-cabaran global dan juga kedudukan Malaysia dari segi geopolitik selain merapatkan ukhwah pasca pemilihan ini,” katanya.

Malam esok, kira-kira 3,000 perwakilan AMK dijangka hadir ke Perasmian Bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR.

Kongres Nasional AMK bermula jam 1 petang esok dengan agenda Rapat AMK 2025 di Berjaya Waterfront Hotel, bagi memberi peluang kepada setiap calon bertanding pemilihan AMK memperkenalkan diri.

Seterusnya, Perasmian Bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR pada sebelah malam, di lokasi sama disusuli Kongres Nasional AMK 2025 dan pemilihan, keesokannya bermula 9 pagi hingga 6 petang.

BACA JUGA Howard Lee cabar MCA buat demo di tapak MyKiosk, bawa usul ke Parlimen