Saya bukan nak serang Kedah, saya nak selesaikan isu air – Akmal tegur
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegur kelewatan Projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau, Kedah.
Beliau menegaskan lawatannya ke projek tersebut bukan untuk menyerang kerajaan negeri, sebaliknya untuk menyelesaikan isu air yang sudah tertangguh lebih dua tahun.
“Saya penat. Beberapa minggu ini asyik ditipu. Turun tapak, ditipu. Menteru Besar Kedah – dapat komen merepek.
“Eh, ini satu-satunya negeri sifar rizab air bersih. 40,000 rakyat Kedah tunggu bekalan air bersih sejak 2023,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Dalam lawatannya baru-baru ini ke LRA Bukit Selambau yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan, Akmal menegur kualiti kerja pihak kontraktor.
Beliau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan projek, terutamanya kerana pam utama untuk loji masih belum ditempah, yang dijangka mengambil masa enam bulan untuk penghantaran.
“Saya bukan nak serang negeri tau. Saya nak selesaikan isu air. Kena ada tekanan supaya benda ini ambil serius. Depan saya depan orang ramai cuba lagi memusing, apa guna mesyuarat?
“40 juta liter sehari yang patut boleh dibekalkan sejak 2023 dah dua tahun tak siap. Kesian dekat orang,” kata Akmal dalam satu video dikongsikannya di Facebook.
Projek naik taraf LRA Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah, yang bertujuan meningkatkan kapasiti bekalan air bersih, telah mengalami kelewatan ketara sejak beberapa tahun lalu.
Dilancarkan pada 6 Januari 2022 dengan nilai kontrak RM129.4 juta, projek ini pada asalnya dijadualkan siap pada 2 Disember 2023.
Namun, disebabkan pelbagai faktor, tarikh siap telah dilanjutkan tiga kali, dengan tarikh akhir terkini ditetapkan pada 16 November 2025.
BACA JUGA ‘Cukup-cukup lah tu Tun’ – Netizen respon hasrat Mahathir jadi PM lagi