Persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR bayangan kepada siapa PM selepas Anwar?

Oleh CHE IBRAHIM MOHAMED

Maaf bukan niat saya untuk menyibuk diri dalam perihal parti lain, parti saya sendiri pun saya tidak fokus belah mana sekarang.

Hanya sekadar untuk melepaskan rasa, apabila berlaku pertembungan antara Rafizi dan Nurul Izzah dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang dianggap “kosong” mengikut kehendak Perlembagaan PKR.

(Walaupun Rafizi adalah penyandang, jawatan tersebut dianggap kosong apabila cukup tempohnya dan siapa saja boleh menawarkan diri untuk dipilih ke jawatan tersebut)

Banyak pihak mengaitkan persaingan ke jawatan tersebut sebagai bayangan kepada siapa Presiden PKR dan siapa PM selepas DSAI.

Saya berpandangan perebutan jawatan ini tidak wajar dikaitkan dengan bakal PM selepas PMX.

Siapa pun yang menang untuk jawatan ini, bukan satu isyarat kepada siapa bakal PM selepas DSAI.

Saya yakin dalam situasi tidak ada satu-satu parti yang menguasai majoriti mudah dalam Parlimen, keputusan untuk memilih siapa PM selepas DSAI bagi menerajui Kerajaan Madani bukan suatu yang mudah untuk diteka.

Jika ditakdirkan PMX terpaksa mengosongkan jawatan PM atau berlaku sesuatu yang menyebabkan jawatan PM (la qaddara Allah, minta dijauhkan Allah) menjadi kosong, saya yakin sama ada Rafizi yang menang, atau Nurul Izzah yang kalah, bukan Timbalan Presiden PKR yang akan dipilih untuk menggantikan PMX.

Bukan gambaran

Maknanya pertandingan merebut jawatan antara Nurul Izzah vs Rafizi bukan gambaran kepada siapa PM selepas DSAI.

Ianya hanya pertandingan merebut jawatan dalam parti walaupun tidak dinafikan keputusannya mungkin akan memberi kesan yang tidak baik kepada Kerajaan Madani.

Keputusan untuk melantik PM selepas PMX adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, jangan pula kita memandai-mandai untuk mengambil kuasa YDPA, apalagi dalam situasi tidak ada parti atau sesiapa pun yang cukup jumlah.

PH atau BN atau mungkin PN yang menguasai majoriti di Parlimen, ketika itu hanya pengundi yang paling berkuasa menentukan siapa bakal PM selepas DSAI.

BACA JUGA Keluar dari zon selesa, ini antara nasihat kepada anggota AMK