Sempat pandu uji Proton e.MAS 7, ini keyakinan PM Anwar

Perdana Menteri memaklumkan beliau berkesempatan mencuba dan memandu uji kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Proton e.MAS 7 di sekitar kawasan pejabat hari ini dalam kesibukan menjalankan tugasan harian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Proton e.MAS 7 merupakan satu lagi pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara, dan telah dipilih sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena jawatan Pengerusi ASEAN 2025.

“Pemilihan ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.

“Insya-Allah, saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif tersebut juga seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia MADANI.

“Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” seru Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA CCTV jadi saksi apa sebabnya gadis ini terus dapat kerja