Dr Zaliha pengarah syarikat vendor sistem pemilihan parti?

Pengerusi jawatankuasa pemilihan parti PKR Dr Zaliha Mustafa telah menafikan ura-ura bahawa beliau adalah pengarah syarikat vendor People Media Sdn Bhd (PMSB).

“Untuk makluman PMSB bukan vendor sistem pemilihan. Sebaliknya PMSB adalah syarikat SPV milik parti yang menguruskan hal ehwal media dan teknologi parti.

“Syarikat ini digunapakai untuk menguruskan penyenaraian aplikasi ADIL di platform Google Play Store dan Apple Apps Store sahaja.

Selain dirinya, Senator Saraswathy Kandasami dan Azrul Azwar dilantik parti sebagai pengarah/pemegang amanah, sejak 2022.

Zaliha, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menegaskan tidak mahu diheret menjelang pemilihan pusat parti pada 23 Mei.

“Sekali lagi saya ingatkan, jangan heret saya mahupun JPP dalam sebarang urusan kempen dan pertembungan antara calon.”

Katanya, tidak perlu dinormalisasikan fitnah kerana JPP merupakan entiti menguruskan pemilihan, bukan calon.

“Saya hanya jawab tuduhan yang dikaitkan dengan saya dan JPP,” katanya dalam jawapan kepada tuduhan oleh timbalan presiden Datuk Seri Rafizi Ramli.

Kelmarin beliau mendedahkan bahawa Rafizi tidak membangkitkan isu berkaitan vendor baharu semasa sesi perbincangan.

Kenyataan itu senada dengan kenyataan setiausaha agung PKR Fuziah Salleh.

Isu vendor sistem pemilihan telah dibangkitkan oleh Rafizi dalam kempen HIRUKnya.

Beliau sedang mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan presiden ekoran cabaran Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti.

BACA JUGA: Persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR bayangan kepada siapa PM selepas Anwar?