Ini dia perbezaan mengurus kewangan di negeri PN yang agak mengejutkan
Dua negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah dan Terengganu, mencatatkan beberapa petunjuk kewangan yang membimbangkan apabila dibandingkan dengan negeri lain.
Infografik yang diterbitkan oleh laman Islah membuat perbandingan terhadap empat buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu.
Pemilihan ini mungkin berdasarkan beberapa persamaan seperti saiz populasi dan status pentadbiran kerajaan negeri iaitu dua negeri kerajaan pusat, dua negeri pembangkang.
Data tersebut memetik laporan belanjawan negeri dan Jabatan Perangkaan (DOSM).
Terengganu dilihat sebagai negeri paling bergantung kepada dana kerajaan Persekutuan dengan 87% hasil negeri datang daripada bantuan luar. Jauh lebih tinggi berbanding tiga negeri lain.
Walaupun mencatatkan hasil sebanyak RM1.2 bilion, negeri ini membelanjakan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan mengurus, melebihi hasil yang diperoleh.
Pada masa sama, gaji Menteri Besar Terengganu dilaporkan mencecah RM30,000 sebulan, tertinggi antara keempat-empat negeri dalam perbandingan.
Kedah pula memperoleh hasil sebanyak RM790 juta, tetapi membelanjakan RM890 juta untuk perbelanjaan mengurus.
Negeri itu turut menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada kerajaan Persekutuan sebanyak 22.1%. Gaji Menteri Besar Kedah juga tidak kurang hebat, iaitu RM22,000 sebulan.
Kedua-dua negeri ini mempunyai bilangan penjawat awam yang agak besar berbanding saiz populasi, namun hasil negeri masih tidak mencerminkan kecekapan pentadbiran.

Sebagai perbandingan, Johor menjana hasil tertinggi sebanyak RM2.0 bilion dengan hanya 13.5% kebergantungan kepada kerajaan Persekutuan.
Perbelanjaan mengurus negeri ini ialah RM1.3 bilion, dan gaji Menteri Besarnya ialah RM15,000 sebulan.
Negeri Sembilan pula memperoleh hasil sebanyak RM590 juta, dengan 10.6% sumbangan Persekutuan.
Perbelanjaan mengurusnya adalah RM590 juta, iaitu seimbang dengan hasil, manakala gaji Menteri Besar Negeri Sembilan ialah RM19,000 sebulan.
Perbandingan ini membuka ruang kepada rakyat untuk menilai kecekapan pentadbiran negeri masing-masing, khususnya dari segi hasil yang dijana sendiri, kebergantungan kepada pusat, dan cara wang rakyat dibelanjakan oleh kepimpinan negeri.
BACA JUGA Pemilihan MPP PKR: Bila keputusan paling awal akan diketahui?