Pemilihan MPP PKR: Bila keputusan paling awal akan diketahui?
Keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam esok.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, keputusan awal itu mungkin diumumkan selepas selesai ucapan perasmian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Kongres Nasional PKR 2025.
“Kita akan cuba umumkan keputusan sekitar selesai ucapan Presiden esok, bergantung kepada situasi semasa.
“Jika selesai ucapan Presiden, kita akan umumkan secepat mungkin, jika segala isu teknikal berjaya diselesaikan,” jelasnya.
Zaliha berkata demikian selepas Sesi Taklimat Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025, di Johor Bahru, hari ini.
Menawarkan diri
Tambahnya, seramai 251 calon menawarkan diri bertanding pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
“Seramai 22,809 perwakilan akan mengundi bagi memilih MPP termasuk 13,060 secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal.
“Daripada jumlah itu, 6,990 perwakilan akan hadir di Johor Bahru, manakala 1,120 dan 919 akan mengundi secara fizikal di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jelasnya, pengundian fizikal bagi perwakilan yang hadir pada kongres itu akan berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay di Johor Bahru.
BACA JUGA Lebih 20 bulan satu pelaburan pun tak masuk lagi di SG4, apa dah jadi?