MB Perak arah JAIPk siasat dakwaan pemimpin Pas ceramah di masjid tanpa tauliah
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat dakwaan dua pemimpin utama Pas di negeri itu memberi kuliah di masjid tanpa memiliki tauliah yang sah.
Beliau berkata, JAIPk bertanggungjawab menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan rasmi berkaitan sebarang pelanggaran terhadap titah Sultan Perak.
Beliau juga menegaskan setiap individu, tanpa mengira latar belakang politik sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, tertakluk kepada undang-undang dan titah Sultan Perak.
“Tak kira siapa sahaja sama ada orang kerajaan atau pembangkang, jika didapati melanggar titah Tuanku, itu satu kesalahan. Tapi sebarang pertuduhan itu kena dibuktikan betul dan berasaskan kepada siasatan yang adil,” katanya menurut media tempatan.
Harapan Daily sebelum ini melaporkan pendedahan dibuat bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain mengenai pemimpin utama Pas Perak uang didakwa melanggar garis panduan JAIPk apabila memberi kuliah agama di masjid yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Hasnul berkata beliau mempunyai bukti kukuh berhubung pelanggaran tersebut.
BACA JUGA Pemimpin Pas Perak didakwa ingkar arahan Sultan, ceramah di masjid tanpa tauliah?