MyKiosk: MCA dicabar kemuka dakwaan penyelewengan dalam mesyuarat PBT

OLEH A. ZAHID

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini tampil memberikan penjelasan tegas berhubung isu projek MyKiosk yang hangat dipolitikkan oleh Pemuda MCA.

Dalam satu sidang media petang tadi, Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Louis Lim menepis tuduhan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dan menyifatkannya sebagai “serangan tidak berasas dan pembunuhan watak yang jijik.”

Menurut Louis, projek MyKiosk sememangnya dibiayai oleh KPKT, namun agensi pelaksana bagi projek ini adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri masing-masing.

“Memang MCA berhak untuk membuat laporan. Namun, kami ingin menegaskan di sini bahawa serangan mereka harus disasarkan kepada pihak yang betul,” kata beliau.

Tambah Louis lagi, proses pelaksanaan MyKiosk tidak terletak di bawah bidang kuasa terus menteri, sebaliknya melibatkan peranan aktif PBT dalam mengenalpasti lokasi, menawarkan kadar sewa, serta menyelenggara unit-unit kios tersebut.

“Secara ringkasnya, tanggungjawab mereka bukan sekadar menilai, tetapi juga mencari lokasi, menawarkan harga, dan menyewakan premis. Semuanya di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan,” jelasnya.

Louis turut mencabar Pemuda MCA untuk menunjukkan keberanian sebenar mereka dengan menyatakan secara terbuka sebarang bukti atau dakwaan penyelewengan yang mereka miliki di mesyuarat penuh PBT yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

“DAPSY mencabar Pemuda MCA dan ahli-ahli MCA yang menjadi ahli majlis PBT masing-masing untuk menyatakan secara terbuka dalam mesyuarat penuh tersebut jika benar berlaku sebarang penyelewengan semasa proses sebut harga.”

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya benar wujud EXCO kerajaan negeri yang terlibat, nama individu terbabit sepatutnya diumumkan secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik kenyataan bersifat tuduhan umum.

DAPSY melihat dakwaan terhadap Nga Kor Ming sebagai cubaan terancang untuk mencemarkan imej pemimpin berwibawa demi kepentingan politik sempit.

“Kami, ahli-ahli majlis DAPSY yang berkhidmat di peringkat kerajaan tempatan masing-masing, tampil menolak sekeras-kerasnya segala tuduhan liar dan fitnah yang dilemparkan oleh Pemuda MCA.”

Louis menutup kenyataannya dengan menggesa agar semua pihak berpolitik secara matang dan berlandaskan fakta, bukannya menabur fitnah demi mencipta persepsi negatif menjelang pilihan raya tempatan.

“Persoalannya adakah mereka cukup berani untuk menyahut cabaran ini, dan menyatakan pendirian secara terbuka dalam mesyuarat penuh PBT masing-masing?” tegasnya.

BACA JUGA Lebih 20 bulan satu pelaburan pun tak masuk lagi di SG4, apa dah jadi?