Nama baik penjawat awam tercemar gara-gara tuduhan penyelewengan projek MyKiosk

ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid menempelak tindakan segelintir pihak yang melemparkan tohmahan tidak berasas, mengaitkan projek MyKiosk dengan unsur penyelewengan dan seolah-olah berlaku salah guna kuasa.

Beliau menegaskan, tuduhan sedemikian hanya akan mencemarkan nama baik ribuan penjawat awam yang terlibat secara profesional dalam proses perolehan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini kerana katanya, segala proses perolehan bagi projek MyKiosk dikendalikan oleh PBT dan bukannya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara langsung.

“Peranan KPKT terhad kepada penyediaan dan penyaluran peruntukan.

“Pelantikan kontraktor pula dilaksanakan oleh PBT melalui proses sebut harga terbuka yang mematuhi semua garis panduan kewangan serta tatacara perolehan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 795 kontraktor telah dilantik di seluruh negara berdasarkan keperluan dan bilangan unit MyKiosk di setiap kawasan, melalui proses yang telus dan teratur.

Sebagai bekas Ahli Majlis MBSA, Danial berkata beliau amat memahami bahawa proses perolehan di peringkat PBT dijalankan secara profesional, melibatkan pelbagai lapisan pegawai dan audit dalaman.

Malah katanya, ia bukan keputusan individu, sebaliknya satu sistem yang memerlukan semak dan imbang yang rapi.

Beliau mempersoal adakah mereka yang membuat tuduhan ini benar-benar memahami struktur dan tatacara operasi kerajaan tempatan.

“Atau adakah mereka memilih untuk memperlekeh integriti penjawat awam demi keuntungan politik jangka pendek?

“Saya menggesa agar segala permainan persepsi murahan ini dihentikan segera. Janganlah kita merosakkan usaha murni yang sedang memartabatkan penjaja kecil dan menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat marhaen,” ujarnya lagi

BACA JUGA MB Perak arah JAIPk siasat dakwaan pemimpin Pas ceramah di masjid tanpa tauliah