Netanyahu dakwa Mohammed Sinwar sudah terbunuh, ini reaksi pegawai kanan Hamas
Israel berkemungkinan telah membunuh pemimpin Hamas Mohammed Sinwar, kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Lapor Reuters, serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di selatan Gaza menyasarkan Sinwar awal bulan ini tetapi kematiannya masih belum disahkan sama ada oleh Israel atau Hamas.
Netanyahu berkata, Sinwar adalah ketua semasa kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza yang mengambil alih peranan itu daripada abangnya, Yahya Sinwar, yang terbunuh pada Oktober 2024 dalam serangan tentera Israel di selatan Gaza.
“Kami telah menumpaskan puluhan ribu pengganas, kami menghapuskan pemimpin seperti Deif, Haniyeh, Yahya Sinwar dan nampaknya juga Mohammed Sinwar.
“Pasukan kami kini menguasai semakin banyak wilayah di Gaza. Pada akhir operasi, seluruh kawasan Genting Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel.
“Saya bersedia menamatkan perang dengan syarat yang jelas untuk menjamin keselamatan Israel,” katanya dalam sidang media semalam.
Beberapa laporan media, termasuk dari saluran Saudi Al-Hadath, mendakwa bahawa mayat Sinwar telah ditemui bersama 10 orang pembantunya di dalam terowong yang musnah akibat serangan Israel.
Namun, Hamas setakat ini belum mengesahkan kematian Sinwar yang mengambil alih kepimpinan Hamas di Gaza selepas kematian Yahya Sinwar, yang dibunuh oleh pasukan Israel pada Oktober 2024.
Seorang pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan, menafikan laporan tersebut dengan menyatakan bahawa anggota Hamas di Gaza memberitahu beliau bahawa Sinwar masih hidup.
Pemimpin genosid yang sedang berdepan beberapa siri tuduhan rasuah itu meletakkan syarat iaitu semua tebusan dikembalikan, Hamas meletak senjata, kepimpinan mereka digulingkan dan Gaza berada bawah kawalan Israel sepenuhnya selepas perang.
Netanyahu juga mahu pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk memindahkan penduduk Palestin di Gaza dilaksanakan dan wilayah itu dibangunkan sebagai Riviera Asia Barat.
BACA JUGA Mujur ustazah lalu, ramai nasihat guru jangan ‘gila’ TikTok