‘Saya bertanding kerana kegusaran ahli jika jawatan Timbalan Presiden kosong’

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, menjelaskan bahawa keputusan beliau menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti dibuat ekoran kebimbangan mengenai kemungkinan kerusi itu kosong.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas menerima maklumat bahawa Rafizi Ramli telah mengambil cuti dan mengosongkan pejabat beliau.

“Tatkala saya menerima berita bahawa Rafizi telah mengambil cuti dan telah mengosongkan pejabatnya, saya ketika itu masih berada di India bagi menghadiri jemputan sebuah persidangan antarabangsa.

“Kepimpinan parti turut dimaklumkan mengenai sepucuk surat perletakan jawatan yang telah pun disediakan,” katanya dalam satu warkah dimuat naik di Facebook.

Jelasnya, ketika itu wujud kebimbangan bahawa Rafizi mungkin tidak akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden, apatah lagi selepas beberapa kekalahan pemimpin sehaluan dengan beliau di peringkat cabang.

Ia sekaligus menambahkan keresahan ramai pihak terutama anggota dan pimpinan PKR, yang akhirnya mendorong beliau untuk mengisi kekosongan itu.

“Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden sekaligus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.

“Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden,” jelasnya lagi.

Menurut Nurul Izzah, seruan tersebut telah mendapat sokongan majoriti cabang parti di seluruh negara, malah Rafizi hanya mengumumkan pencalonannya selepas seruan disambut.

“Seruan ini telah disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti. Hanya pada hari terakhir penamaan calon, Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan,” ujarnya.

BACA JUGA Nama baik penjawat awam tercemar gara-gara tuduhan penyelewengan projek MyKiosk