Tuntutan palsu RM48,000: Datuk antara tiga individu direman, siapa tu?
Tiga individu termasuk seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.
Mereka yang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 itu disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bagi tender pembekalan makanan pada 2020.
Semua suspek dipercayai membuat tuntutan berjumlah RM48,000 untuk tender makanan kepada agensi pasukan keselamatan negara.
Media melaporkan perintah reman selama dua hari sehingga esok, ke atas dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 50-an dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Menurut sumber dipetik BH, semua suspek ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
“Suspek utama disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2023 melibatkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering kepada pasukan keselamatan negara yang menjalanakan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.
“Turut ditahan dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan,” kata sumber berkenaan.
BACA JUGA MB Perak arah JAIPk siasat dakwaan pemimpin Pas ceramah di masjid tanpa tauliah