AMANAH ambil tindakan tegas pecat 58 ahli kerana terlibat parti politik lain

AMANAH telah mengambil tindakan tegas dengan memecat 58 orang ahlinya yang didakwa menyertai pemilihan parti politik lain.

Setiausaha Agung AMNAH, Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, parti itu mengambil serius laporan dan aduan berhubung tindakan segelintir ahli yang telah mendaftar sebagai ahli parti politik lain serta terlibat dalam pemilihan parti politik berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 51 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada ahli yang disyaki terlibat dengan parti politik lain.

“Kegagalan mereka untuk menjawab surat itu juga boleh membawa kepada implikasi pemecatan.

“AMANAH berharap agar tindakan yang dikenakan ini boleh menjadi peringatan yang tegas kepada ahli-ahli AMANAH,” katanya memberi amaran jelas kepada ahli yang cuba berpaling tadah.

Menurut Faiz, Perlembagaan AMANAH memperuntukan bahawa tindakan mendaftar keahlian dalam parti lain boleh membawa implikasi tindakan tatatertib termasuk pemecatan keahlian.

Untuk memastikan pelanggaran disiplin ini dapat ditangani secara teratur, harmoni dan berkesan, sebanyak dua bentuk tindakan telah dilaksanakan iaitu pemecatan keahlian serta-merta atau siasatan lanjut yang bergantung kepada keseriusan pelanggaran.

Dalam pada itu beliau menyeru ahli AMANAH supaya mematuhi disiplin berorganisasi dengan berpandukan kepada Perlembagaan dan Tatacara AMANAH.

BACA JUGA ‘Pejabat Rafizi memang dikemaskan tapi…’ – Bekas pegawai jawab dakwaan pejabat dikosongkan