‘Pejabat Rafizi memang dikemaskan tapi…’ – Bekas pegawai jawab dakwaan pejabat dikosongkan

Seorang bekas pegawai kepada Menteri Ekonomi menjelaskan bahawa pejabat Datuk Seri Rafizi Ramli tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau mengambil cuti.

Bekas pegawai khas Rafizi iaitu Najib Bakar berkata, Rafizi juga tidak pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri mahupun sebagai Timbalan Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya boleh sahkan pejabat RR tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau bercuti hari tu,” katanya di Facebook.

“Mungkin ada yang menyampai maklumat salah kepada orang lain. Oh ya surat letak jawatan pun tak pernah diberi kepada PM,” katanya pula di ruangan komen.

Penjelasan itu dibuat selepas Nurul Izzah mendedahkan dia memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas mendapat maklumat bahawa Rafizi mengambil cuti dan pejabatnya telah dikosongkan.

Dalam hantaran lain yang dibuat Najib, dia mengatakan pejabat Rafizi memang dikemaskan tetapi sebagai persiapan bagi jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Ekonomi dan bukannya dikosongkan seperti yang didakwa.

Dia juga mendedahkan ramai anggota polis Unit Cawangan Khas (SB) masuk ke bangunan Kementerian Ekonomi untuk semak sama ada betul atau tidak Rafizi sudah mengemas pejabat.

“Tak tahulah mereka dengar daripada mana, agaknya ‘sumber tak dinamakan’.

“Sebenarnya betul, memang pejabat menteri dikemaskan, tetapi sebagai persiapan jamuan raya pada 28 April. Semoga menjawab segala kekeliruan,” katanya.

BACA JUGA ‘Saya bertanding kerana kegusaran ahli jika jawatan Timbalan Presiden kosong’