Harta RM2 bilion tidak diisytihar Tun Daim mungkin dilucut hak – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti cadangan untuk melucut hak pemilikan harta bernilai lebih RM2 bilion yang didakwa tidak diisytiharkan oleh bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan melibatkan lapan kertas telah dimulakan selepas agensi luar negara menyerahkan maklumat baharu berkaitan harta milik Daim, termasuk yang dikaitkan dengan keluarga dan proksinya.

Menurut Bernama, maklumat baharu yang diterima SPRM itu menunjukkan bahawa pemilikan aset Allahyarham Tun Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada suruhanjaya itu semasa siasatan dijalankan pada 2023.

“Aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan dan adalah satu kesalahan di bawah akta kami (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009), walaupun dengan ketiadaan Tun Daim lagi kita akan mencadangkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.

“Ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada bersetuju atau tidak tetapi kita ke arah itu sebenarnya,” katanya pada sidang media semalam seperti dilapor.

Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata:

“Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”

Beliau berkata pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi memastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

BACA JUGA Pekerja swasta pun boleh kerja dari rumah sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN