Pekerja swasta pun boleh kerja dari rumah sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan syarikat-syarikat swasta yang beroperasi di kawasan-kawasan terlibat semasa Sidang Kemuncak ASEAN membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR).

Pelaksanaan BDR dalam sektor swasta dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN itu.

Malah, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan pekerja untuk BDR sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 dan 27 Mei ini.

Namun, Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman mencadangkan pelaksanaan BDR diteliti secara menyeluruh.

Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memastikan pelaksanaan BDR tidak menjejaskan produktiviti syarikat, khususnya yang beroperasi di kawasan sekitar acara berkaitan Sidang ASEAN.

“Kerjasama antara kerajaan, majikan, pekerja dan kesatuan sekerja amat penting bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang dan berkesan,” katanya, dipetik Bernama.

Langkah untuk syarikat swasta membenarkan pekerja BDR dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa program berlangsung.

Ini memandangkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama sekitar Lembah Klang ditutup secara berperingkat bermula hari ini hingga 28 Mei.

Jalan yang ditutup termasuk laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Istana Negara serta laluan ke hotel penginapan.

Penutupan jalan dilakukan secara berkala dalam tempoh 30 minit bagi membolehkan konvoi atau motoked peserta dan tetamu persidangan dari setiap negara tiba ke destinasi.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 akan bermula dengan mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan pada 23 Mei, diikuti mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat ketua-ketua kerajaan akan bermula pada 26 Mei.

Tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ diangkat sebagai asas penyatuan untuk penglibatan serantau dan global.

Komitmen Malaysia adalah untuk memperkukuh pemusatan ASEAN, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.

BACA JUGA Persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR bayangan kepada siapa PM selepas Anwar?