JPJ perhebat penguatkuasaan, gantung lesen lebih 500 syarikat pengendali kenderaan berat

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus memperhebat usaha penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali kenderaan berat dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Tindakan tegas itu termasuk mencadangkan penggantungan lesen operasi 513 syarikat atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan jalan raya sejak 2019 hingga April lalu.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, antara kesalahan utama yang dikenal pasti adalah pengendalian kenderaan tanpa cukai jalan, insurans dan pemeriksaan yang sah.

Dalam pada itu, JPJ turut membuka 17 kertas siasatan melibatkan kenderaan perdagangan seperti lori yang terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian atau masalah teknikal.

Sementara itu sebanyak 135 kenderaan telah disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 melibatkan negeri Selangor dan Pahang, dengan tujuh daripadanya telah dilucut hak pemilikan.

“Kebanyakan kes membabitkan lori yang membawa muatan berlebihan,” katanya.

Jelasnya, tindakan tegas ini diambil susulan siri kemalangan melibatkan kenderaan berat termasuk kejadian di Teluk Intan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini.

“JPJ sama sekali tidak berkompromi terhadap keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.

BACA JUGA Harta RM2 bilion tidak diisytihar Tun Daim mungkin dilucut hak – SPRM