Rafidah muncul di Himpunan Melayu Berdaulat di tengah laporan ‘menghilangkan’ diri

Pempengaruh Rafidah Ibrahim hari ini membuat kemunculan di Himpunan Melayu Berdaulat yang berlangsung di hadapan Kompleks Sogo, di tengah-tengah laporan bahawa dia ‘menghilangkan’ diri.

Beberapa video dimuat naik di media sosial memperlihatkan kelibatnya yang berarak menaiki kenderaan pacuan empat roda sambil memegang plakad.

Rafidah sebelum ini dikatakan sukar dikesan sehingga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad tidak dapat menyerahkan surat saman kepadanya.

Ironinya, Rafidah kini hadir secara terbuka dalam acara awam yang turut diliputi media.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa pempengaruh itu sengaja mengelak daripada proses perundangan tetapi tidak pula bersembunyi daripada pentas politik atau perhimpunan berunsur sentimen.

Harapan Daily menghubungi peguam kepada Khalid iaitu Hisham Fauzi mengenai perkembangan kes ini.

Beliau memaklumkan surat saman masih belum dapat diserahkan. Namun pasukannya mempunyai pilihan terakhir iaitu memohon dari mahkamah untuk mengiklankan saman itu di akhbar.

Saman yang difailkan terhadap Rafidah berkait dengan dakwaan fitnah yang dilemparkan terhadap Khalid melalui platform media sosial.

Khalid sebelum ini dalam sidang medianya mendakwa surat saman telah pun disiapkan untuk diserahkan secara tangan kepada Rafidah namun pempengaruh itu menghilang sehingga kini.

BACA JUGA Surat saman Khalid dah siap tapi Rafidah masih ‘menghilang’

BACA JUGA Isu Kg Sg Baru: Khalid Samad saman Rafidah Ibrahim kerana memfitnah