‘Sejujurnya saya lega…’ – Nukilan Rafizi buat ahli dan penyokongnya

“Sejujurnya, saya tidak terlalu kecewa. Malah, saya rasa sangat lega kerana akhirnya saya dapat kembali menjalani kehidupan peribadi, jauh dari hiruk-pikuk kuasa”.

Demikian luahan Datuk Seri Rafizi Ramli dalam kenyataan terbukanya hari ini susulan keputusan pemilihan PKR yang menyaksikan kekalahannya kepada Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden.

Dalam kenyataan panjang yang menyentuh sokongan ahli, Rafizi menzahirkan penghargaan mendalam kepada semua pihak yang menyokong kempen beliau walaupun keputusan tidak memihak kepadanya.

Beliau turut menyentuh kekecewaan yang mungkin dirasai oleh ahli dan penyokong parti, menyifatkan ia sebagai perasaan yang sukar dielakkan selepas bertahun-tahun mengabdikan diri kepada idealisme PKR.

“Saya faham kekecewaan yang dirasai oleh ahli dan penyokong PKR di luar sana. Ia akan mengambil masa untuk menghapuskan perasaan bahawa segala dedikasi bertahun-tahun kepada perjuangan PKR telah jadi sia-sia.

“Saya juga manusia biasa. Saya juga merasai perkara yang sama, walaupun mungkin seketika,” katanya.

Rafizi juga mengimbas kembali pengorbanannya selama hampir tiga dekad dalam PKR, meninggalkan kerjaya korporat, memimpin kempen pembebasan Anwar di peringkat antarabangsa, berkhidmat di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, malah menghadapi 16 kes mahkamah termasuk dipenjara tiga tahun di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan skandal 1MDB.

“Saya mungkin telah menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa,” katanya berseloroh, tetapi sarat dengan maksud perjuangan yang panjang dan getir.

Rafizi menjelaskan bahawa penyertaannya dalam politik bukan kerana jawatan atau ganjaran, tetapi kerana keyakinan terhadap idealisme reformasi, persaingan sihat, dan Malaysia yang majmuk dan progresif.

“Saya menyertai PKR kerana janji kepada idealisme ini. Bukan kerana jawatan atau kedudukan menteri, apatah lagi untuk ganjaran kewangan,” jelas beliau.

Walaupun tidak lagi memegang jawatan tertinggi dalam parti, Rafizi menegaskan bahawa perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik belum berakhir.

“Masih ada harapan,” katanya, merujuk kepada sokongan akar umbi dan semangat anak muda parti yang merayu agar beliau tidak meninggalkan perjuangan.

“Saya tidak pernah berniat untuk menyerah terhadap keyakinan idealistik bahawa Malaysia boleh menjadi lebih baik. Keyakinan inilah yang menarik saya ke dunia aktivisme dan politik sejak awal,” ujarnya lagi.

Rafizi mengakhiri coretannya dengan menyeru semua pihak agar percaya kepada proses dan menyerahkan segala urusan kepada kebijaksanaan Tuhan.

“Kepada yang merasa kecewa, apa yang boleh saya katakan hanyalah: kita mesti percaya kepada proses. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.”

BACA JUGA Pesanan Anwar kepada Nurul Izzah dan Rafizi