Wanita tak puas hati kereta kena ‘clamp’ hanya kerana tayar terkeluar petak parkir

Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati selepas kenderaan yang diparkirnya dikunci pihak pengurusan tempat letak kereta hanya kerana posisi tayar kenderaan terkeluar dari garisan petak parkir.

Dalam satu perkongsian di X, pengguna akaun @attyusof, memaklumkan kejadian itu berlaku di sebuah pusat komersial di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Menerusi hantaran yang dimuat naik sejak Khamis itu, wanita tersebut berkata dia pada waktu itu mahu menghantar bayinya yang sakit ke klinik.

Selepas selesai menghantar bayinya ke klinik, dia terkejut melihat tayar kenderaannya dikunci.

“Kereta saya kena clamp kerana tayar keluar garisan. Korang, tolonglah, adakah saya yang salah atau saya sedang dibuli?

“Saya park secara senget kerana kereta di sebelah saya sebelum ini park terlalu depan, jadi saya tidak dapat masuk dengan betul.

“Saya park di sini kerana nak bawa bayi saya yang sakit ke klinik,” tulisnya.

Menurutnya, usaha berhubung dengan pihak pengurusan pusat komersial berkenaan juga menemui jalan buntu.

Menurut perkongsian ceritanya, pekerja yang bertugas pada waktu itu pada awalnya tidak sampai hati untuk mengenakan tindakan kepada keretanya, namun dia terpaksa berbuat demikian setelah diarah oleh pihak atasan.

Parking attendant kata dia rasa tak sampai hati tapi bossuruh. Saya hubungi pihak pengurusan dan mereka hanya beri gambar (individu nama) En Sharif untuk kongsikan nombor parking tapi panggilan dibuat tak diangkat.

“Pejabat kata mungkin tengah makan tengah hari,” katanya yang turut memuat naik foto menunjukkan kedudukan kenderaan miliknya di tempat parkir berkenaan.

Wanita tersebut bertegas dia tidak melakukan kesalahan dan menganggap cara dia parkir langsung tidak menghalang laluan kenderaan lain.

BACA JUGA Malaysia cipta sejarah baru, Resolusi Kesihatan Paru-Paru diterima pakai WHO