Gabungan PH-BN boleh bawa musibah politik kepada Pas, akui seorang pemimpin Pas
Seorang pemimpin Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah telah mengakui bahawa gabungan PH-BN boleh membawa musibah politik kepada partinya sekiranya gabungan tersebut berdepan Pas di Kelantan.
Beliau menjangkakan Pas boleh kehilangan sehingga 15 kerusi DUN.
“PRU akan datang bukan sekadar ulangan lima tahun sekali. Ia medan luar jangka, dengan penyusunan lawan yang mungkin sukar diduga,” kata beliau yang juga Speaker DUN merangkap Adun Panchor.
“Jika benar PH dan BN bergabung, risiko kehilangan kerusi di Kelantan bukan kecil, hingga 15 kerusi boleh terlepas, belum termasuk kawasan yang sedia goyah.
“Jangan kita jadi arnab yang ghairah di permulaan tetapi rebah di hujung perlumbaan. Ini bukan cerita dongeng untuk menakutkan, tetapi ibrah yang hidup.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook, rentetan kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai timbalan presiden di dalam pemilihan PKR.
Mohd Amar turut mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memastikan bahawa Nurul Izzah akan mengambil tempatnya sebagai perdana Menteri kelak.
Sehubungan dengan itu Mohd Amar mahu golongan Muslimat dan Pas supaya bersedia untuk pilihan raya umum ke-16.
“PAS tidak boleh kekal dalam zon selesa. Kita mesti melangkah lebih jauh daripada sekadar retorik dan rutin. Kita perlu pantas, tersusun, dan menyentuh nadi rakyat.
“Seperti bubur asyura, walau ramuannya berbeza, namun menyatu dalam rasa yang mengenyangkan umat yang dahagakan kepimpinan.”
BACA JUGA: Rafidah muncul di Himpunan Melayu Berdaulat di tengah laporan ‘menghilangkan’ diri