Ini pendirian Rafizi pasca pemilihan PKR

Tatkala tular ura-ura bahawa Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli akan digugurkan, beliau menegaskan bahawa beliau “tidak akan berputus asa dan lari dari cita-cita idealismenya.

“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan lari dari cita-cita idealisme kita selama ini, iaitu Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik – cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu.

“Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.

“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini.

“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima.”

Beliau tewas kepada Nurul Izzah Anwar dan gagal mempertahankan kedudukan timbalan presiden dalam sesi pemilihan PKR.

Nurul memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan Rafizi yang meraih 3,886 undi.

Rafizi turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diterima dan menasihatkan mereka redha dengan keputusan tersebut.

“Terima kasih atas ratusan mesej sokongan yang saya terima. Terima kasih juga kepada mereka yang mendoakan saya dan bersolat hajat.

“Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa.

“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti redha dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya.

“Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Sekali lagi, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati saya.

Ketika berkempen, Rafizi telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

BACA JUGA: Dua misi penting PKR, menurut naib presidennya