Di mana Malaysia dalam senarai negara pengisar koko?
Malaysia mengekalkan kedudukan dalam senarai lima negara pengisar koko terbaik dunia. Saban tahun Malaysia mengisar 370,000 tan biji koko.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kegiatan eksport koko Malaysia menunjukkan trend peningkatan memberangsangkan.
“Eksport juga menunjukkan trend meningkat yang mana jumlah eksport koko dan produk koko meningkat 29 peratus daripada 530,000 tan pada 2023 kepada sekitar 690,000 tan pada 2024 dengan nilai RM15 bilion.
“Ini bukti komitmen Malaysia terhadap pengeluaran dan inovasi dengan nilai tambah yang tinggi,” katanya berucap pada perasmian Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pihaknya menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited menggiatkan semula penanaman koko bagi merangsang kawasan tanaman dan meningkatkan pengeluaran koko memandangkan timbulnya isu kekurangan biji koko di peringkat global.
“Usaha ini sedang dijalankan dan kami menggesa peladang, pelabur dan koperasi untuk menjadi sebahagian daripada usaha nasional ini.
“Kerajaan sudah melaksanakan program bagi meningkatkan pendapatan untuk peladang koko serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seperti program kluster koko dan penubuhan koperasi bagi memudahkan peluang ekonomi kepada pekebun kecil.
“Selain itu, kerajaan menerusi LKM memainkan peranan penting memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) koko bagi meningkatkan daya saing.
“Pusat penyelidikan dan pembangunan koko di bawah LKM memberi pengkhususan dalam penanaman koko dan proses selepas penuaian, pembiakan dan pengurusan serangga perosak serta kawalan kualiti dan pembangunan produk,” katanya.
Setakat ini usaha ini telah meningkatkan pengeluaran biji koko sebanyak 65% 65 peratus daripada 269 tan pada 2023 kepada 445 tan pada 2024.
“Walaupun pengeluaran biji koko minimum berbanding 490,000 tan biji koko yang diimport, kita mesti menghidupkan semula pengeluaran biji koko tempatan tidak seimbang antara sektor hiliran yang teguh dan keluaran sektor huluan terhad,” katanya.
Tumpuan turut diberikan kepada variety koko premium untuk memenuhi permintaan global.
“Penanaman varieti koko premium bagi memastikan rantaian bekalan koko yang mampan dan bertanggungjawab.
“Ini bukan saja tepat pada masanya, tetapi penting untuk dipenuhi kerana kemampanan dan kebolehkesanan telah menjadi dasar tidak boleh dirunding yang akan terus membentuk hala tuju industri.
“Kami akan terus mengusahakan Sistem Kebolehkesanan Koko (Cocoa Traceability System) nasional kita yang pada masa ini sudah mencapai liputan kebolehkesanan 40 peratus.
“Sistem kebolehkesanan ini akan menjadi ciri Koko Premium Standard Malaysia yang sedang dijalankan yang mana ia sebahagian komitmen Malaysia terhadap kemampanan, kebolehkesanan dan kesediaan kawal selia untuk Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR),” katanya.
BACA JUGA: RM2,400 setahun untuk pekebun yang daftar Budi Agri Komoditi