Kes Pamela: Ahli politik ada terlibat?

Polis mengesahkan tiada pembabitan ahli politik dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perkara tersebut berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.

Menurutnya, setakat ini seramai 47 individu sudah diambil keterangan termasuk suami dan tiga anak Pamela bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Media di Bukit Aman hari ini, beliau memaklumkan, turut diambil keterangan adalah rakan mereka dan beberapa individu lain yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.

Pamela sebelum ini dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, 9 April lalu.

Wanita berusia 42 tahun itu bukan suspek, sebaliknya dipanggil bagi membantu siasatan sebagai saksi.

Penahanan ke atas Pamela pada Januari lalu dibuat kerana dia gagal mematuhi arahan untuk hadir memberi keterangan.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Pamela mendedahkan wanita berkenaan sepatutnya bertemu pegawai SPRM pada 9 April tetap didakwa hilang ketika dalam perjalanan ke lokasi tersebut.

BACA JUGA Tular guru marah, aibkan murid: Ini penegasan Menteri Pendidikan