Lebih 80,000 masuk ‘live’ Aliff Syukri, 25 saat habis terjual 3,000 beg tangan
Pasangan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri, 38 dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, 40, terus menjadi tumpuan orang ramai terutamanya peminat beg tangan.
Malam tadi, lebih 80,000 orang mengikuti siaran langsung jualan beg tangan hanya dengan harga RM65.
Menurut pengguna Thread, benamirizzat, sebanyak 3,000 unit beg tangan itu habis dijual dalam tempoh hanya 25 saat.
“Lebih 80,000 orang masuk live semata-mata nak rebut beg kilat. Tak sempat nak kelip mata, semua dah lesap.
“Saya ulang. 25 saat (sold out), bukan 25 minit, bukan 25 jam,” katanya.
Difahamkan, pembeli malam tadi turut mendapat hadiah dengan setiap pembelian beg tangan yang menjadi rebutan wanita itu.
Rata-rata memuji produk keluaran syarikat dimiliki Aliff Syukri yang murah dan bermutu.
“Tak pernah lagi baca komen orang cakap barang-barang dia jual hauk atau tak berkualiti.
“Malah, sabun mandi bidara tu semua komen bagus. Saya pakai pun memang bagus, beg-beg dia yang lain pun pelanggan cakap berkualiti dan murah,” kata pengguna Thread, iammasyitah.
Namun, dalam masa sama ada menasihati orang ramai agar tidak terperangkap dalam gejala FOMO (fear of missing out) iaitu perasaan risau akan kehilangan sesuatu.
“FOMO ke tu? Sudah-sudahlah tu. Perkara ni semua sebab puas membeli je. Memakai pun belum lagi,” kata pitefendy.
Untuk rekod, Aliff Syukri hujung tahun lalu membayar zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Hal itu dimaklumkan isterinya, Shahida menerusi hantaran video di Instagram dengan memberitahu tujuannya memuat naik video itu bukanlah untuk membanggakan diri.
Sebaliknya, beliau berkata, tujuannya untuk memberi semangat kepada individu atau syarikat yang mempunyai lebihan pendapatan untuk turut sama memberi zakat kepada mereka yang sangat sangat memerlukan.
BACA JUGA Penjajaran baharu politik mungkin berlaku menjelang PRU-16