Penjajaran baharu politik mungkin berlaku menjelang PRU-16

Oleh CHE IBRAHIM MOHAMED

Maaf saya sebenarnya cuba menahan diri untuk komen dakwaan tentang kekalahan Rafizi kepada Nurul Izzah Anwar (NIA) sebagai pembuka jalan kepada kejatuhan “Dinasti Anwar” atau lebih tepat sebagai langkah awal kepada kekalahan Pakatan Harapan (PH).

Sejarah telah membuktikan pertandingan perebutan jawatan dalam parti sering menyebabkan luka yang parah dan parut yang kekal.

Namun, mengaitkan kekalahan atau kehilangan seorang individu atau “team tertentu” sebagai permulaan kejatuhan kepada sesebuah parti adalah satu anggapan yang tidak tepat dari segi apa yang telah berlaku secara realiti.

Dato’ Onn Jaafar pernah meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Negara.

Tengku Razaleigh telah meninggalkan UMNO bersama “Team B” setelah tewas kepada “Team A” yang diketuai oleh Mahathir, kemudian menubuhkan S46.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Timbalan Presiden UMNO, selepas berkrisis sakan dengan Tun Mahathir sehingga dipecat daripada jawatan TPM dan keahlian UMNO, menubuhkan PKN (sekarang KEADILAN @ PKR).

Begitu juga tindakan Tan Sri Mahiaddin Yassin menubuhkan PPBM manakala Shafie Afdal menubuhkan Warisan selepas kedua-duanya dipecat dari UMNO.

Ternyata UMNO masih gagah dan masih wujud. Sejarah yang sama juga telah berlaku kepada Pas.

Meninggalkan Pas

YDP Pas, Datuk Asri lari meninggalkan Pas dan menubuhkan Hamim. Bekas MB Kelantan, Datuk Mohd Nasir menubuhkan Berjasa.

Lebih separuh Jawatankuasa Agung Pas yang diketuai oleh Timbalan Presidennya bersama 18 orang Jawatankuasa Agung Pas yang kalah dalam pemilihan Pas pada 2015 menubuhkan AMANAH.

Namun, Pas tetap gagah dan tetap wujud, bahkan semakin kuat.

Itulah juga yang berlaku kepada PPBM dan Pejuang, walaupun Mahathir sebagai pengasasnya telah meninggalkan parti tersebut, namun parti tersebut tetap wujud.

Nurul Izzah memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dengan 9,803 undi berbanding 3,866 undi yang diperoleh Rafizi Ramli.

Sebenarnya, DSAI berjaya menjadi PMX bukan kerana PKR kuat, bukan kerana PH telah menguasai majoriti mudah di Parlimen, bukan kerana disumbang oleh kebijaksaan tokoh tertentu.

DSAI berjaya menjadi PMX kerana tidak ada mana-mana parti menguasai majoriti, YDPA yang mempunyai kuasa mutlak telah menamakan DSAI sebagai PMX kerana Baginda yakin DSAI mampu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Ternyata anggapan itu benar!

Maknanya sebagai PMX, DSAI bukan sahaja bertanggungjawab kepada PH dan PKR, tetapi perlu menjadi “ketua” kepada parti-parti yang mendukungnya dalam Kerajaan Perpaduan.

DSAI mendapat sokongan jitu daripada PH, BN dan gabungan parti-parti dari Sarawak dan Sabah, insya-Allah DSAI akan kekal sebagai PMX dan Kerajaan Madani sehingga PRU-16.

Mengatur strategi

Jika semasa DSAI berwatak pembangkang pun beliau boleh menjadi PMX dalam situasai berhadapan dengan pelbagai halangan dan sekatan, maka sebagai PM, sudah tentu lebih mudah bagi DSAI mengatur strategi untuk mengekalkan kuasanya menjelang PRU-16 seterusnya memenangi PRU-16.

Apa pun kita menunggu siapakah pula yang akan muncul sebagai penghalang dan pencabar kepada DSAI untuk terus menerajui Putrajaya untuk sekurang-kurang sepenggal lagi (PRU-16) setelah dilihat pembangkang sekarang (PN) semakin tidak bermaya dan hilang upaya.

Adakah lawan kepada DSAI nanti ialah rakan politiknya sendiri dari Kerajaan Perpaduan, atau satu pihak lain yang muncul secara tiba-tiba?

Saya meramalkan negara bakal berhadapan dengan satu penjajaran baru politik kepartian sama ada di sebelah Kerajaan Madani mahu pun di sebelah pembangkang yang ingin menjatuhkan DSAI.

Pertembungan selepas ini mungkin antara team yang menyokong DSAI dengan team yang menentang DSAI termasuk puak yang memulakan sentimen PKR parti anak beranak atau team No Anwar No DAP.

BACA JUGA Ini pendirian Rafizi pasca pemilihan PKR