Liciknya modus operandi ‘Susan’, RM625,250 milik pesara ini akhirnya lesap
Sebanyak RM625,250 milik seorang pesara lesap akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud menerusi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Susan.
Mulanya, ‘Susan’ menghubungi lelaki berusia 67 tahun berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp dan menawarkan kepadanya untuk menyertai pelaburan itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, mangsa yang berminat menyertai pelaburan itu kemudian dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.
Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan bagi melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan terbabit.
Balveer berkata, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan kemudian melakukan 16 transaksi pemindahan wang simpanannya kepada lima akaun berbeza.
Transaksi itu dilakukan mulai 22 Mac hingga 19 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan bernilai RM625,250.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan ketika cuba mengeluarkan keuntungan diperoleh.
“Siasatan polis juga akan membabitkan ‘keldai akaun’ dan jika ada, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
BACA JUGA Lebih 80,000 masuk ‘live’ Aliff Syukri, 25 saat habis terjual 3,000 beg tangan