PRN Johor awal? Ini jawapan MB Johor di sidang DUN
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah menolak ura-ura bahawa pilihan raya negeri (PRN) akan diawalkan memandangkan penggal pentadbiran akan berakhir pada bulan April 2027.
Menurut beliau, kerajaan negeri masih mempunyai tempoh dua tahun untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi dan instrastruktur Johor.
“Ini bukan musim pilihan raya, penggal pentadbiran hanya akan tamat pada April 2027, ada dua tahun lagi jadi seperti dititahkan Pemangku Sultan Johor untuk kita fokus pembangunan negeri Johor.
“Marilah kita cari titik persamaan agar kerjasama dapat dicapai dan bukannya mencari titik perbezaan antara kita sehingga boleh menyebabkan perpecahan berlaku,” katanya yang juga ADUN Machap pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar.
“Kita berbeza parti dan ideologi politik, namun saya dapat rasakan keharmonian di sidang DUN Johor ini.
“Saya akan laporkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bahawa semua Ahli Dewan menjunjung tinggi keharmonian dan menunjukkan semangat muafakat tinggi.
“Johor mesti jadi Johor, kita mesti menjadi contoh. Marilah kita dengar bukan sahaja dengan telinga tetapi juga dengan hati dan jiwa. Jangan hanya bercakap untuk direkodkan sebaliknya bercakaplah untuk menyelesaikan isu rakyat,” katanya.
Penjelasan ini sekaligus mematikan desas desus oleh sesetengah pemimpin politik yang meramalkan PRN di Johor akan diadakan seawall tahun depan.
BN mengetuai kerajaan dengan kemenangan majoriti dua per tiga setelah memenangi 40 daripada 56 kerusi.
BACA JUGA: Sesi plenari, libat urus antara pengisian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini