Sesi plenari, libat urus antara pengisian Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bermula hari ini akan menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama para pemimpin ASEAN dan wakil pelbagai sektor.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan antara yang dijadualkan termasuk sesi plenari dan retreat yang akan membuka ruang kepada perbincangan mendalam berkenaan cabaran serantau dan agenda masa depan ASEAN.

Menurutnya, sesi libat urus bersama Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) juga diadakan bagi memperkukuh dimensi inklusif dalam proses pembuatan dasar serantau.

PM Anwar semasa sesi mesyuarat Pre-Council di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, turut dijadualkan majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045, di mana Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan pembukaan.

Sementara itu, Majlis Makan Malam Gala ASEAN turut diadakan sebagai acara kemuncak hari pertama.

Dalam masa sama, beberapa mesyuarat dua hala juga dijadualkan berlangsung sepanjang hari bersama rakan-rakan strategik termasuk Kemboja, Singapura, China dan Kuwait.

Platform strategik

Dua pertemuan penting peringkat tinggi turut diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, yang menjadi platform strategik untuk memperkasa kerjasama serantau dan antara serantau.

Menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini, dimaklumkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menjadi medan untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Melalui kepengerusian ini, jelasnya, Malaysia berpeluang memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti GCC dan China.

“Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir USD25 trilion dan populasi lebih 2 bilion orang, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur yang mampan.

“Lebih daripada itu, penganjuran sidang berskala besar ini turut menyumbang manfaat langsung kepada ekonomi domestik khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan serta peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 diadakan dengan tema Pengerusi ASEAN 2025 oleh Malaysia, iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’

Tahun ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

BACA JUGA Lebih 80,000 masuk ‘live’ Aliff Syukri, 25 saat habis terjual 3,000 beg tangan