Rantau Panjang malap bukan kerana negara tetapi pemimpin Kelantan

Oleh DR SHAH NOR BASRI

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang mendakwa kemerosotan ekonomi negara menjadi punca kepada kemunduran kawasan seperti Rantau Panjang adalah satu lagi episod penafian realiti oleh pemimpin Pas.

Tuduhan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan usaha melepaskan diri daripada tanggungjawab yang telah lama diabaikan.

Hakikatnya, kedudukan ekonomi Kelantan yang daif dan kemerosotan potensi pelancongan di Rantau Panjang adalah akibat langsung daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas selama lebih tiga dekad.

Tertinggal jauh

Data rasmi yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Laporan Ekonomi Tahunan Kementerian Kewangan secara konsisten menunjukkan Kelantan adalah antara negeri paling kurang menerima pelaburan langsung asing.

Mengikut laporan MIDA bagi tahun 2023:
 Selangor menerima FDI bernilai RM60.1 bilion, tertinggi dalam negara.
 Pulau Pinang mencatatkan RM42.3 bilion.
 Perak pula menerima RM9.5 bilion.
 Kelantan, sebaliknya, hanya mencatatkan FDI sebanyak RM0.5 bilion, antara yang terendah bersama Perlis dan Terengganu.

Jumlah ini membuktikan bahawa kelembapan ekonomi Kelantan tidak berpunca daripada kemelesetan ekonomi nasional, tetapi daripada kelemahan struktur pentadbiran negeri yang tidak berupaya mencipta iklim pelaburan yang kondusif.

Zon Bebas Cukai Rantau Panjang suram kerana kegagalan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pas.

Mengapa pelabur asing tidak memilih Kelantan?

Jawapannya mudah — tiada infrastruktur sokongan, dasar pembangunan yang lemah, birokrasi negeri yang tidak mesra pelabur, dan tiada pelan jangka panjang yang strategik.

Bandingkan dengan Selangor dan Pulau Pinang yang bukan sahaja mempunyai taman perindustrian moden dan sistem logistik cekap.

Malah, dasar kerajaan negeri mereka menjurus ke arah mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan membina ekosistem perniagaan yang menyeluruh.

Potensi dibazirkan

Sebagai kawasan sempadan yang terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Rantau Panjang sepatutnya menjadi pusat perdagangan dan pelancongan bertaraf serantau.

Namun, lawatan ke kawasan itu membuktikan sebaliknya. Rantau Panjang hari ini tidak lebih daripada pasar sempadan yang bercelaru, tidak terurus, kotor, dan tidak mesra pelancong.

Ketiadaan zon ekonomi khas yang terancang, kekurangan promosi pelancongan oleh agensi negeri, serta tiadanya inisiatif pembangunan infrastruktur seperti pusat informasi pelancong, pengangkutan awam tempatan dan ruang niaga moden menyebabkan kawasan ini menjadi satu lagi “mangsa” kepada kelemahan kerajaan negeri.

Bandingkan dengan Padang Besar di Perlis atau Wang Kelian, yang walaupun kecil, menerima pelaburan daripada program pelancongan rentas sempadan.

Bahkan di Perak, kawasan seperti Bandar Taiping berjaya diangkat semula sebagai destinasi warisan berikutan kerjasama strategik kerajaan negeri dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut data dari Tourism Malaysia (2022):
 Kelantan mencatat hanya 2.1 juta pelancong domestik, jauh lebih rendah berbanding Selangor (8.9 juta), Pulau Pinang (6.4 juta) dan Perak (5.2 juta).

 Perbelanjaan pelancong di Kelantan adalah sekitar RM600 juta, manakala Pulau Pinang mencatat lebih RM2.3 bilion.

Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja pelawat kurang datang ke Kelantan, tetapi mereka juga tidak berbelanja banyak di sana.

Ia suatu petunjuk kelemahan penawaran produk pelancongan dan kegagalan strategi pemasaran pelancongan negeri.

Tambahan lagi, Rancangan Tempatan Negeri Kelantan langsung tidak mengutamakan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Tidak terdapat inisiatif yang serius untuk membangunkan kampung budaya, destinasi sejarah Islam atau ekopelancongan sungai dan bukit, yang sepatutnya menjadi kekuatan semula jadi Kelantan.

Dibelenggu masalah

Lebih malang, Kelantan terus dibelenggu oleh isu asas seperti:

 Bekalan air tidak bersih – masalah ini berlarutan sejak dua dekad lalu.

 Kadar kemiskinan tinggi – Kelantan mencatat kadar kemiskinan mutlak 12.4% (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022), berbanding Selangor (1.1%) dan Pulau Pinang (1.8%).

 Penghijrahan tenaga kerja muda – Kelantan menjadi negeri dengan kadar penghijrahan keluar tertinggi, khususnya anak muda dan golongan profesional yang mencari peluang di luar.

Semua ini berlaku walaupun kerajaan negeri menerima peruntukan besar dari kerajaan Persekutuan setiap tahun – termasuk melalui agihan hasil minyak, bantuan penyelenggaraan jalan negeri, dan bantuan kebajikan.

Menguncupnya iltizam

Mengaitkan kemerosotan Rantau Panjang dengan “ekonomi negara menguncup” bukan sahaja tidak logik, malah tidak jujur.

Ekonomi Malaysia secara keseluruhan mencatat pertumbuhan 4.2% pada suku pertama 2024 menurut Bank Negara Malaysia (BNM), dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan mencatat peningkatan.

Sebaliknya, yang menguncup adalah wawasan dan iltizam kerajaan negeri Kelantan untuk membangunkan negerinya secara tuntas dan menyeluruh.

Tanggungjawab pembangunan negeri terletak di bahu kerajaan negeri.

Setelah lebih 30 tahun memerintah, Pas seharusnya berhenti menyalahkan pihak luar dan mula mengambil tanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.

Rakyat Kelantan perlu menuntut jawapan bukan alasan.

*DR SHAH NOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam di Jordan.

BACA JUGA Lebih 80,000 masuk ‘live’ Aliff Syukri, 25 saat habis terjual 3,000 beg tangan