Vaksin percuma untuk ibu hamil dari Kementerian Kesihatan?
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mengumumkan bahawa semua ibu hamil warganegara Malaysia akan menerima vaksin TDAP (Tetanus, Difteria, dan Pertussis) secara percuma mulai hari ini.
“Pemberian vaksin ini bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi yang baru lahir, khususnya terhadap pertusis yang boleh menyebabkan komplikasi serius sebelum mereka melengkapkan jadual imunisasi asas.
“Kajian antarabangsa menunjukkan vaksin ini adalah selamat dan berkesan, tanpa menambah risiko kepada ibu mahupun bayi,” katanya semasa sambutan Hari Imunisasi peringkat kebangsaan.
Vaksinasi untuk ibu mengandung merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi sepanjang hayat yang turut merangkumi pelaksanaan Program Vaksin Influenza untuk warga emas yang telah dilancarkan pada 18 Februari lalu.
Program itu menyasarkan golongan berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik, dan sehingga semalam, seramai 97,355 warga emas telah menerima suntikan vaksin berkenaan di fasiliti KKM.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dasar vaksinasi negara sentiasa disemak berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan antarabangsa. Justeru, semua vaksin yang digunakan di Malaysia telah melalui proses penilaian ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) dan dipantau secara berterusan oleh KKM.
“Penyebaran berita palsu berkaitan vaksin semakin membimbangkan dan boleh menggugat keyakinan awam. Saya faham masih ada ibu bapa yang ragu-ragu.
“Namun, saya menyeru agar masyarakat sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerana keputusan yang kita buat hari ini akan memberi kesan besar terhadap kesihatan generasi akan datang,” ujarnya.
Hari Imunisasi disambut dengan tema “Imunisasi untuk Semua, Ayuh Kita Jayakan”.
BACA JUGA: Dr Dzulkefly pertegas komitmen Malaysia perkasa sistem kesihatan di pentas dunia