Banyaknya jumlah dagangan GCC dengan ASEAN, aliran pelaburan pun meningkat

Perdana Menteri memaklumkan Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah dan pengerusi bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua yang menghimpun dan menyatukan pimpinan dari dua rantau berbeza.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dalam ucapan pembukaan menzahirkan penghargaan atas kehadiran semua pimpinan, yang menjadi tanda komitmen bersama untuk mempererat hubungan strategik ASEAN-GCC dan meneroka kerjasama yang lebih luas demi kepentingan bersama.

“Saya turut tegaskan bahawa tema Kepengerusian Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan aspirasi kita untuk membina pertumbuhan serantau yang saksama berpaksikan rakyat dan matlamat jangka Panjang,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, kerangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 yang dimeterai dalam Sidang Kemuncak pertama di Riyadh menjadi panduan penting untuk memperkukuh kerjasama dalam ketiga-tiga tonggak yakni politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosial dan budaya.

PM Anwar menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri Oman, Sayyid Asaad bin Tarik Al Said pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.

“Tahun lalu, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion.

“Aliran pelaburan juga menunjukkan peningkatan, yang menjadi petanda jelas keyakinan terhadap masa depan kerjasama ini,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan kerjasama erat antara ASEAN dan GCC menjadi semakin mustahak sebagai teras kestabilan dan pemacu pertumbuhan yang mampan dalam landskap global yang semakin mencabar dan tidak menentu ini.

“Sidang ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk menzahirkan cita-cita kolektif dan menterjemahnya kepada tindakan nyata yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat di kedua-dua rantau.

“Semoga persidangan ini membuahkan hasil yang bermanfaat dan memperkukuh asas kerjasama jangka panjang antara kita, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA PRN17 Sabah: “Sabar saja kamu tunggu, nanti kita beritahu”