Deklarasi Kuala Lumpur lakar masa depan ASEAN baharu di bawah kepimpinan Malaysia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebanggaan apabila Malaysia dapat menerajui ‘Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita’, sebuah dokumen penting yang bakal mencorak masa depan rantau ini selepas 2025.
Deklarasi itu, yang diumumkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur hari ini, menzahirkan iltizam bersama negara-negara anggota untuk membina ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.
“Di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, kita tampil dengan wawasan yang bukan sahaja menyatukan rantau ini, malah meletakkan ASEAN sebagai pemacu utama perubahan global berlandaskan nilai dan kekuatan serantau,” kata Anwar.
Beliau menegaskan bahawa deklarasi ini memberi hala tuju baharu ASEAN pasca 2025 dengan memberi fokus kepada empat tonggak utama, iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan.
Menurutnya, dokumen tersebut menekankan kepentingan pertumbuhan adil dan terangkum serta kesiapsiagaan ASEAN dalam menghadapi cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan tekanan geopolitik global.
“Kita bukan sekadar merancang masa depan ASEAN, tetapi memastikan ia inklusif, saksama dan mampan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Deklarasi Kuala Lumpur ini dijangka menjadi panduan penting dalam menentukan hala tuju rantau ini menjelang tahun 2045.
BACA JUGA Hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN fokus perluasan kerjasama rakan strategik