Menteri perjelas ke mana penjimatan subsidi ayam disalurkan

Keputusan kerajaan menamatkan kawalan harga dan subsidi ayam, antara lain bagi memastikan penjimatan diperoleh dapat disalurkan semula kepada sektor ternakan secara lebih berfokus dan strategik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu termasuk usaha membuka semula reban ayam yang ditinggalkan dan menaik taraf kepada sistem reban ayam tertutup serta menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penternak bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam negara secara mampan dan berdaya saing.

Menurutnya, masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua dasar dan keputusan kerajaan akan memberikan impak serta-merta termasuk berhubung penamatan kawalan harga dan subsidi ayam sejak 1 November 2023.

“Ada inisiatif mengambil masa untuk menunjukkan hasil dan ada juga yang memerlukan beberapa tahun sebelum kesannya benar-benar dirasai oleh rakyat dan negara.

“Apa yang lebih penting ialah hala tuju jelas dan pelaksanaan yang konsisten,” kata Mohamad menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, rakyat perlu bersikap adil dan terbuka dalam menilai setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan kerana tiada mana-mana kerajaan yang waras mahu menyusahkan rakyat apatah lagi menghancurkan negara sendiri.

“Setiap langkah yang diambil adalah berdasarkan kajian, libat urus dan pertimbangan menyeluruh demi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara berterusan,” katanya lagi.

BACA JUGA Banyaknya jumlah dagangan GCC dengan ASEAN, aliran pelaburan pun meningkat