Tanda tanya letupan paip gas di Putra Heights bakal terjawab
Tanda tanya insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Selangor bakal terjawab apabila laporan hasil siasatan polis berhubung kejadian pada 1 April lalu itu akan dikeluarkan akhir Jun ini.
Polis kini sudah selesai menjalankan siasatan termasuk meneliti punca sama ada wujud unsur kecuaian atau khianat dalam kejadian yang menjejaskan 437 unit kediaman itu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya pada masa ini menunggu hasil siasatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PETRONAS bagi mendapatkan spesimen diperlukan.
Jelasnya, pihak polis setakat ini telah mengambil dan mengeluarkan lima spesimen dari tempat kejadian untuk disiasat dan dianalisis oleh JKKP.
“Agensi siasatan teknikal iaitu Jabatan Mineral dan Geosains juga sudah selesai mengambil sampel di lokasi kejadian.
“Kawasan kejadian diserahkan kepada pihak PETRONAS untuk kerja-kerja pemulihan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Sepang, hari ini.
Kejadian letupan gas pada jam 8.10 pagi itu turut merosakkan sebanyak 148 unit kereta dan 11 motosikal.
Kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM65.4 juta, melibatkan kerosakan harta benda dan infrastruktur.
Mengulas lanjut Hussein berkata, sebuah eskavator yang dilapor terbenam dalam nahas itu akan dikeluarkan selepas kerja-kerja pemulihan kawasan diselesaikan.
Jelasnya, pada masa ini, fokus diberi terhadap kawasan yang mempunyai paip gas dan ia tidak boleh dilakukan serentak kerana boleh mengakibatkan tanah runtuh.
“Selepas kerja-kerja pemulihan di kawasan paip selesai, barulah pihak berkenaan boleh bergerak ke arah tempat eskavator terbabit terbenam,” katanya.
BACA JUGA Banyaknya jumlah dagangan GCC dengan ASEAN, aliran pelaburan pun meningkat