Data DOSM dedah 7 negeri ini catat pertumbuhan positif dalam eksport
Malaysia mencatatkan jumlah dagangan keseluruhan bernilai RM261.9 bilion pada April 2025, dengan tujuh negeri mencatatkan pertumbuhan positif dalam eksport.
Tujuh negeri ini merekodkan pertumbuhan mencecah RM219.4 bilion, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Memetik Bernama, prestasi eksport pada April 2025 telah meningkat sebanyak RM18.9 bilion atau 16.4% daripada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport lebih tinggi di kebanyakan negeri.
Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 36.7% diikuti Johor (19.7%), Selangor (18.2%), Sarawak (6.9%) dan WP Kuala Lumpur (3.2%).
Negeri yang mencatat pertumbuhan eksport iaitu Pulau Pinang (RM14.5 bilion), Johor (RM3.0 bilion), Selangor (RM3.0 bilion), Perak (RM286.5 juta), Negeri Sembilan (RM196.4 juta), Melaka (RM171.8 juta), Pahang (RM107.0 juta) dan Perlis (RM9.4 juta).
Bagaimanapun, katanya nilai eksport menurun di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur sebanyak RM1.2 billion, Terengganu (RM783.2 juta), Sarawak (RM313.6 juta), Kedah (RM228.7 juta), Kelantan (RM96.4 juta), WP Labuan (RM33.1 juta) dan Sabah (RM22.6 juta).
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Uzir memaklumkan import pada April 2025 meningkat RM21.4 bilion (20.0%) kepada RM128.4 bilion daripada bulan sama pada 2024.
Peningkatan import, katanya disebabkan oleh import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (RM9.0 bilion), Pulau Pinang (RM6.9 bilion), Kuala Lumpur (RM5.3 bilion), Johor (RM1.4 bilion), Perak (RM303.1 juta), Kedah (RM105.9 juta), Kelantan (RM39.7 juta) dan Sabah (RM27.9 juta).
Bagaimanapun, nilai import menurun di Pahang sebanyak RM794.8 juta, Melaka (RM674.4 juta), Negeri Sembilan (RM526.1 juta), Sarawak (RM306.8 juta), Terengganu (RM130.5 juta), Labuan (RM79.9 juta) dan Perlis (RM3.7 juta).
“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 29.7% diikuti Pulau Pinang (22.9%), Johor (19.1%), Kuala Lumpur (10.4%) dan Kedah (5.0%),” katanya.
BACA JUGA ‘Tak habis-habis memfitnah, see you in court Yb Mas’ – Asyraf Wajdi