‘Tak habis-habis memfitnah, see you in court Yb Mas’ – Asyraf Wajdi
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin kerana memfitnah.
Beliau berkata, wakil rakyat pembangkang itu telah menuduhnya menghabiskan duit MARA melalui siri lawatan mengejutnya, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit MARA sebab terjah, tebuk hafazan dan MARA dah tak biayai pelajar TVET.
“InsyaAllah, barisan Peguam MARA akan mulakan prosiding saman kepada beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, beliau tiada masalah jika pembangkang mahu mengkritiknya, namun jika melampaui batas sehingga memfitnah, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain memfailkan saman fitnah.
“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!
“Saya tiada masalah untuk mengkritik saya, contohnya tidak wajar seorang Pengerusi yang bukan eksekutif terjah ke institusi-institusi Pendidikan MARA seperti MRSM, IKM, KKTM tanpa maklumkan kepada pihak pengurusan kerana akan menyusahkan mereka.
“Tapi kalau sudah sehingga melemparkan fitnah dengan niat untuk memburukkan institusi Melayu-Bumiputera ini, saya tiada pilihan melainkan untuk menyaman fitnah,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Sah… Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi