Keupayaan sistem kesihatan Malaysia semakin diyakini di peringkat antarabangsa
Malaysia mencatat sejarah baharu dalam sektor pelancongan kesihatan apabila dinobat sebagai destinasi pilihan nombor satu dunia untuk pelancongan perubatan.
Penarafan terbaharu itu dikeluarkan oleh Nomad Capitalist, sebuah firma perunding global berpangkalan di Dubai.
Pengiktirafan ini meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara ternama lain seperti Singapura, India dan Turkiye, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab kesihatan bertaraf antarabangsa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pencapaian ini merupakan satu bukti nyata kepada keupayaan sistem kesihatan Malaysia yang semakin diyakini di peringkat global.
“Alhamdulillah, Malaysia kini berada di kedudukan teratas dunia sebagai destinasi pilihan pelancongan perubatan.
“Ini adalah hasil usaha kolektif pelbagai pihak daripada petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur dan rakan strategik yang terus memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada tahun 2023 sahaja, sektor pelancongan perubatan negara berjaya menjana lebih RM2 bilion hasil, dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari serata dunia.
“Mereka datang kerana yakin dengan kepakaran doktor dan jururawat kita, serta standard penjagaan kesihatan yang tinggi, serta pada keunikan gabungan rawatan moden dan layanan mesra (Malaysian hospitality) serta nilai murni masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Dr. Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (Malaysia Healthcare Travel Council – MHTC) atas peranan penting dalam memacu sektor ini ke tahap yang membanggakan.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini tidak akan membuatkan Malaysia berpuas hati, sebaliknya akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk menambah baik sistem kesihatan negara.
“Kementerian Kesihatan Malaysia komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan serta memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
BACA JUGA Selepas Rafizi, Nik Nazmi menyusul letak jawatan