Selepas Rafizi, Nik Nazmi menyusul letak jawatan
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengikuti langkah Rafizi meletakkan jawatannya, berkuatkuasa 4 Julai.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa pada 4 Julai 2025. Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR merupakan anggota yang menyokong Rafizi.
Terdahulu Rafizi telah pun meletakkan jawatannya.
Nik Nazmi gagal mempertahankan kedudukan sebagai ketua cabang Setiawangsa dan jawatan naib presiden di peringkat pusat.
Justeru itu, beliau meletakkan jawatan.
“Namun begitu, saya sedar bahawa kedudukan saya ketika itu sebagai Naib Presiden KEADILAN merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.”
Nik Nazmi turut menyatakan kejayaan yang telah dicapai semasa mengetuai kementeriannya.
Antranya termasuklah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, (EIA).
“Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi. Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.
“Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia.
“Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.
“Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen.”
BACA JUGA: Sah… Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi