Menteri Agama arah penganjur henti program promosi LGBTQ, gesa polis segera siasat
Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan agar penganjur program Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness menghentikan serta merta program tersebut yang didakwa mempromosi lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBTQ).
Dalam satu kenyataan malam ini, Mohd Nai’m menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menyiasat penganjuran program berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
Beliau menegaskan sebarang bentuk usaha yang cuba menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBTQ adalah bertentangan dengan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi kerajaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Malaysia menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, secara halus atau terbuka.
“Tindakan penganjuran program sebegini, walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat Malaysia.
“Saya menyarankan agar penganjur menghentikan serta-merta sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang negara dan nilai moral masyarakat” katanya.
Beliau menyeru agar agensi-agensi agama, termasuk JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri bersedia memainkan peranan penguatkuasaan, khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.
Pada masa yang sama, beliau meminta semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara.
“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak dan maruah umat.
“Budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di bumi Malaysia,” tegasnya lagi.
BACA JUGA Terkini Anwar luluskan permohonan cuti Rafizi, Nik Nazmi – PMO