Terkini Anwar luluskan permohonan cuti Rafizi, Nik Nazmi – PMO

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima permohonan cuti dan pengunduran daripada dua anggota Kabinetnya.

Dalam satu kenyataan media, PMO memaklumkan bahawa permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan telah diluluskan oleh Perdana Menteri selepas meneliti permohonan yang dikemukakan.

“Setelah meneliti permohonan tersebut, YAB Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan,” menurut kenyataan bertarikh 28 Mei itu.

Bagaimanapun, PMO tidak memperincikan sama ada permohonan pengunduran yang turut disertakan bersama permohonan cuti tersebut telah diluluskan atau sebaliknya.

“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh YAB Perdana Menteri,” tambah kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Rafizi Ramli mengumumkan pengunduran dirinya dari Jemaah Menteri sekaligus melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Beberapa jam selepas itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengumumkan pengunduran dari Kabinet.

Susulan pengumuman itu, pelbagai reaksi diluahkan oleh orang ramai di media sosial, yang rata-rata melahirkan rasa sedih dan terkejut dengan keputusan dua tokoh muda itu.

Beberapa pihak menyuarakan harapan agar Perdana Menteri tidak meluluskan pengunduran mereka secara muktamad.

BACA JUGA Keupayaan sistem kesihatan Malaysia semakin diyakini di peringkat antarabangsa