Sah, Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli telah meletakkan jawatan berkuatkuasa 17 Jun depan.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada YAB Perdana Menteri.
“Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook beliau.
Peletakan jawatan itu selaras dengan pendiriannya sebelum ini yang akan meletakkan jawatan sekiranya tewas untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR.
Sesi pemilihan PKR baru-baru ini menyaksikan Nurul Izzah Anwar memenangi kedudukan kedua tertinggi parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.
Sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi berkata, beliau telah pun menyempurnakan penghasilan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau menambah bahawa perubahan struktur ekonomi perlu diteruskan supaya ekonomi negara lebih kukuh kerana perjalanan mencapai status negara berpendapatan tinggi masih jauh.
BACA JUGA Ini pendirian Rafizi pasca pemilihan PKR