Biro politik PKR tumpu perhatian kepada pilihan raya negeri Sabah
Fokus utama mesyuarat pertama biro politik PKR seusai sesi pemilihan ialah pilihan raya negeri Sabah.
Ia merupakan cabaran utama buat timbalan presiden PKR baru, Nurul Izzah Anwar.
“Tumpuan parti pada ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya negeri Sabah.
“Timbalan presiden serta semua naib presiden telah diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani,” kata Biro Politik PKR dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, biro tersebut menyatakan bahawa mantan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah Mustapha Sakmud akan meneruskan tugas sebagai pengerusi MPN.
Begitu juga dengan mantan pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPRN) Sabah Peto. Langkah ini adalah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN baharu.
Di peringkat pusat pula, Senator Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Selayang William Leong akan meneruskan tugas masing-masing sebagai setiausaha agung dan Bendahari Agung sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.
PKR ialah salah satu komponen Pakatan Harapan di Sabah. Selain PKR, PH Sabah turut dianggotai oleh DAP, AMANAH dan UPKO.
Selain pilihan raya negeri Sabah, pelaksanaan dasar untuk menangani kos sara hidup turut dibincangkan.
BACA JUGA: Nik Nazmi: Hanya berundur dari kabinet, bukan PKR