Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Kuala Penyu

Pagi semalam saya menyantuni 41 orang nelayan Parlimen Sipitang/Beaufort di bawah selian PNK Kuala Penyu, Sabah yang diadakan di dalam Program Rahmah Mesra Madani dengan sumbangan pukat dan tong ikan berinsulasi dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

Saya turut menyampaikan enjin 15 kuasa kuda kepada saudara Ahmad Nazmi bin Ali seorang nelayan aktif, tetapi daif yang enjin lamanya telah rosak bagi membantu meneruskan aktiviti tangkapan ikan.

Pemberian touch point adalah bagi mendorong nelayan untuk lebih aktif dengan meningkatkan kecekapan dan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti dan menjana pendapatan yang lebih dalam menjayakan agenda meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan serta memastikan bekalan ikan yang cukup dan terjamin kepada rakyat.

Dalam ucapan, saya mengingatkan nelayan dan persatuan nelayan memastikan tiada pelanggaran tatacara dalam pengendalian subsidi minyak yang menjurus kepada keciciran dan penyelewengan.

Saya turut menekankan keperluan nelayan terutama persatuan nelayan menguasai semua nilai rantaian perniagaan perikanan termasuk bidang hiliran supaya hasil tangkapan dipelbagaikan untuk meningkatkan pendapatan dalam usaha menaik taraf sosio-ekonomi nelayan melalui agenda 1P1P ( 1 Persatuan 1 Produk).

Keahlian nelayan di PNK Kuala Penyu seramai 1,343 orang. Bagi membela kebajikan nelayan, lebih kurang 900 orang penerima elaun sara hidup dan 393 vessel bagi Zon A menerima subsidi minyak petrol.

Tangkapan dan pendaratan ikan di Sabah pada 2024 dengan jumlah 122,987 metrik tan, kedua tertinggi dalam negara menunjukkan kekuatan dan potensi besar industri perikanan di Sabah yang harus dimanfaatkan bagi memastikan agenda food security (keterjaminan makanan) dan SSL ikan dalam negara tercapai, yang mana secara langsung mampu meningkatkan pendapatan nelayan.

Bagi memberikan keselesaan kepada hidup sosio nelayan, di bawah Program Khas Perumahan Nelayan, sebanyak 10 buah rumah nelayan di bawah teritori PNK Kuala Penyu dibaikpulih pada tahun 2020 dan 13 buah rumah menerima peruntukan baik pulih.

Sejurus tamat program, saya bersama Pengarah LKIM Sabah M Jamil Jomiun menziarahi 3 orang nelayan uzur di Kg Mentulud untuk menyantuni mereka dan menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban golongan rentan ini yang banyak berjuang memastikan makanan cukup dan berzat kepada kita rakyat Malaysia.

Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan.

BACA JUGA: Jepun bina tembok 12.5 meter halang tsunami masuk bandar, Malaysia diminta juga berusaha