Tahniah kepada Ustaz Wan Ji, bakal bergelar Dr tidak lama lagi

Penceramah terkenal Ustaz Wan Ji Wan Hussin tidak lama lagi bakal bergelar doktor falsafah selepas berjaya menyelesaikan sesi Viva Voce bagi tesis PhD beliau tentang terorisme.

Ucapan tahniah disampaikan awal oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika kedua-duanya bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sekarang.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada al Fadhil Ustaz Wan Ji Wan Hussin atas kejayaan melalui sesi Viva Voce bagi tesis PhD beliau yang membahaskan isu terorisme dari perspektif wacana keilmuan Islam,” kata Mujahid menerusi facebook beliau.

Bagi Mujahid, pencapaian ini bukan sahaja satu kejayaan peribadi, bahkan sumbangan besar kepada dunia keilmuan Islam kontemporari.

Dalam suasana dunia yang sering berhadapan dengan kekeliruan tafsiran dan ekstremisme, kehadiran ilmuwan seperti Ustaz Wan Ji amat penting untuk menyampaikan kefahaman Islam yang rasional, berpaksikan maqasid dan menjunjung nilai ilmu, katanya.

“Semoga Allah SWT terus memberkati usaha beliau, melimpahkan taufik dan hidayah dalam perjuangan dakwah serta memperkukuhkan peranannya sebagai penyuluh ummah di medan wacana dan pemikiran,” katanya.

Wan Ji adalah alumni Universiti al-Azhar, universiti Islam yang berprestij, bapa kepada empat orang anak ini memiliki ijazah dalam undang-undang syariah dan baru sahaja lulus viva voce (peperiksaan lisan) untuk program sarjana dalam maqasid syariah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Beliau kini lulus viva untuk PhD beliau yang juga dari UMK.

BACA JUGA Menteri Agama arah penganjur henti program promosi LGBTQ, gesa polis segera siasat