Pertingkatkan hasil daging, padi jadi tumpuan, kata Mohamad Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberikan fokus untuk meningkatkan pengeluaran hasil ruminan negara dan padi.

Perkara ini dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataannya selepas mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 1 Tahun 2025 (NACCOL) semalam.

Menurut Mohamad, pengeluaran hasil ruminan negara kini berada pada tahap sekitar 20% hingga 25% sahaja dari keperluan.

Ruminan (suborder Ruminantia) ialah mamalia herbivor berkuku yang meragut yang mampu memperoleh nutrien daripada makanan berasaskan tumbuhan dengan menapainya dalam perut.

Dalam konteks negara ini, ruminan merujuk kepada penternakan lembu dan kambing yang kini menjadi tumpuan kementerian ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat NACCOL di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Mesyuarat ini membincangkan pelbagai isu penting, khususnya berkaitan jaminan bekalan makanan negara.

“Di pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Bang Mat bersama seluruh warga Kementerian sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pengeluaran hasil ruminan negara yang kini berada pada tahap sekitar 20% hingga 25% sahaja.

“Begitu juga dengan usaha memperkukuh sektor pengeluaran padi yang menjadi makanan ruji rakyat.

“Semua ini adalah sebahagian daripada komitmen kita terhadap agenda MADANI, yang meletakkan keterjaminan makanan sebagai teras utama kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu capai sasaran ini dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

“Yang penting, rakyat mendapat manfaat, dan pengeluar tempatan terus mara ke hadapan,” kata Mohamad yang juga Presiden Amanah dalam kenyataan itu.

BACA JUGA Gandingan baharu KKM, Dr Dzul dan Dr Mahathar: Ini baru nampak mahu reform