Tindakan 2 menteri PKR letak jawatan beradab, Mat Sabu contoh hidup

Tindakan dua pemimpin PKR yang meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan adalah tindakan beradab dan menjadi amalan mereka yang mempunyai kredibeliti.

Bagi Pemuda Amanah, langkah sebegini pernah dibuat oleh presiden mereka sekarang, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Dulu DS Mohammad Sabu sudah buat apa yang DS Rafizi lakukan. Walaupun jawatan itu bukanlah jawatan menteri. Hanyalah Pengerusi Syarikat Air Pulau Pinang,” tulis Ahmad Shahir Mohd Shah, Setiausaha Pemuda Amanah.

Ahmad Shahir membuat tulisan ini selepas pimpinan Pemuda Amanah mengunjungi Mohamad Sabu di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Semalam, dua menteri meletakkn jawatan bukan kerana gagal jadi menteri. Tapi gagal mempertahankan jawatan dalam parti.

“DS Rafizi dan YB Nik bukan nama asing bagi pemimpin PH yang masih muda,” tulis Ahmad Shahir.

Menurut beliau, ketika konflik dalaman Pas yang hendak melenyapkan pasukan bukan ustaz dalam kepimpinan mereka tahun 2015, Bang Mat (nama yang digunakan kepada Mohamad Sabu) adalah timbalan presiden.

Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Air Pulau Pinang selepas Pas meluluskan usul untuk berpisah dengan DAP pada 2015.

Ketika itu, Mohamad atau Mat Sabu berkata, jawatan itu adalah ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Air Pulau Pinang serta Ahli Lembaga Halal Hub Pulau Pinang.

Katanya, keputusan itu diambil susulan keputusan Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke-61 meluluskan usul tanpa bahas dikemuka Dewan Ulama Pas Pusat sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

“Ini saya mulakan pada diri saya sebagai mematuhi resolusi ulama, nanti kalau tak patuh, orang akan kata saya lawan ulama pula.

“Maka saya mulakan pada diri saya, diikuti dengan rakan-rakan lain di Pulau Pinang dan seterusnya di Selangor.

“Jangan bimbang kita akan kuat bila kita keseorangan,” katanya dalam ucapan penggulungannya sempena muktamar itu, pada 6 Jun 2015 lalu yang dipercayai menyindir para perwakilan dan pemimpin Pas di muktamar itu.

BACA JUGA Gandingan baharu KKM, Dr Dzul dan Dr Mahathar: Ini baru nampak mahu reform