Ada atau tidak rombakan Kabinet? Ini reaksi Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada keperluan mendesak untuk membuat rombakan Kabinet pada masa ini.

Menurutnya, dua jawatan menteri yang bakal kosong selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini, akan dipangku sementara oleh menteri lain.

“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya.

“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengunduran diri masing-masing sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Tindakan tersebut susulan kekalahan mereka mempertahan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR.

Rentetan itu, wujud desas-desus menamakan beberapa pemimpin PKR yang dijangka mengisi kuota menteri berkenaan termasuk dua Naib Presiden, Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Datuk Seri R Ramanan.

Amiruddin kini adalah Menteri Besar Selangor manakala Ramanan merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

BACA JUGA Kedudukan Tengku Zafrul sebagai Menteri MITI, apa kata PM Anwar?