Azalina pertegas wakil dalam Kabinet mandat parti bukan kapasiti peribadi

Perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang atas mandat parti yang diwakili, bukan atas kapasiti peribadi, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, UMNO menghormati kebebasan setiap individu membuat pilihan politik.

Beliau mengambil maklum keputusan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak lagi bersama UMNO.

Menurutnya, walaupun Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Perpaduan tetapi setiap menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing.

Sehubungan itu, Azalina berkata, Biro Undang-Undang UMNO telah diminta meneliti implikasi Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang senator, bagi memastikan semua tindakan selanjutnya mematuhi kerangka perundangan.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menggesa ahli dan penyokong UMNO supaya kekal fokus kepada pembangunan negara.

Kelmarin, Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.

Beliau mengesahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO sudah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul juga mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai PKR kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh.

BACA JUGA ‘Kalau fikir akhirat tak tergamak fitnah orang lain’, Pas diperli selepas sembang pasal…